AIM, United Nations Bekerjasama Bagi Projek Perkampungan Atas Air Sabah

  • 16/10/2019

AGENSI Inovasi Malaysia (AIM) telah menandatangani Surat Pertukaran (LOE) bersama United Nations Country Team (UNCT) di Malaysia yang membawa kepada usahasama Projek SDG UN bagi Perkampungan Atas Air Sabah dan usaha intervensi sosial Dana Hasil Sosial (SOF) AIM (UN-AIM SOF 2019).

Majlis menandatangani LOE tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada peranan aktif AIM dalam mempromosikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) UN dalam sektor sosial di Malaysia, dan telah mencadangkan kerjasama antara UN dan AIM bagi program di Sabah yang memberi fokus kepada pembangunan sosial komuniti perkampungan atas air.

Diuruskan oleh UNCT melalui Hab TOGETHERforSDGs dengan pengenalpastian pelbagai lokasi di Sabah, Projek SDG Perkampungan Atas Air Sabah merupakan satu program istimewa oleh UN yang memberi fokus kepada usaha untuk mempertingkatkan kesejahteraan komuniti yang tinggal di kampung-kampung ini dengan megenalpasti pilihan-pilihan yang ada untuk menyelesaikan masalah-masalah unik mereka.

Naser Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif AIM berkata, “ Kerjasama agensi bersama UNCT akan menyelaraskan usaha-usaha dalam mencapai matlamat SDG bagi penduduk-penduduk kampung yang turut menjadi sebahagian daripada aspirasi kolektif untuk memacu Agenda 2030 bagi Pembangunan Lestari dan juga SDG di Malaysia.”

“Ketika ini, Malaysia berada pada tahap yang stabil dalam melaksanakan mekanisme yang pelbagai bagi inisiatif-inisiatif pembangunan lestari yang menjadi aspirasi kepada promosi SDG di peringkat global oleh UN.

Apatah lagi dengan kerjasama antara inisiatif UNCT dan inisiatif Dana Hasil Sosial (SOF) AIM, yang bertujuan untuk meningkatkan hasil sosial dan mewujudkan nilai sosial bagi rakyat adalah cara yang lebih baik.

Kolaborasi bersama UNCT adalah satu kerjasama strategik yang memberi sumbangan positif kepada kelangsungan program SOF,” katanya lagi.

Di bawah LOE tersebut, UN akan memberikan bantuan dalam memberi panduan kepada SPO yang sesuai dan kertas cadangan projek yang relevan dan menepati kriteria SOF AIM, serta mengenalpasti pemberi dana yang berpotensi daripada rangkaian UN untuk membiayai kertas cadangan projek yang terpilih di bawah kolaborasi UN-AIM SOF 2019.

AIM pula akan memberi bantuan dalam menyenarai pendekkan dan memilih kertas cadangan SOF yang diterima daripada UN, dan juga turut serta mengenalpasti pembiaya swasta daripada rangkaian AIM bagi kertas cadangan SOF yang terpilih setelah melepasi peringkat Perjanjian Kerjasama Tiga Pihak antara SPO dan Pembiaya Swasta.

Sejak pelancaran SOF pada tahun 2017, AIM telah berjaya mewujudkan platform baru dalam menggalakkan pembiayaan sosial daripada sektor swasta, yayasan, dan individu dalam membiayai program-program intervensi sosial. SOF memberi fokus kepada 40 isu-isu sosial lazim yang dikenalpasti dalam kajian Penilaian Kemajuan Sosial yang telah dijalankan oleh AIM pada tahun 2016. (Laporan boleh didapati di pautan ini:

Stefan Priesner, Penyelaras Residen UN bagi Malaysia berkata, “Dalam usaha untuk mencapai SDG, kita memerlukan kolaborasi dan kerjasama di semua peringkat, daripada tahap pembuatan polisi hingga ke tahap pelaksanaan.

“Kami percaya Dana Hasil Sosial AIM merupakan inisiatif yang bagus dalam membawa perubahan sosial kepada masyarakat dan juga ianya selaras dengan aspirasi SDG, oleh sebab itulah kerjasama ini diwujudkan. Kami berharap kerjasama bagi Projek SDG Perkampungan Atas Air Sabah ini bakal menjadi projek pertama dan diteruskan dengan projek-projek yang lain.”

 

Berita penuh : https://prebiu.com/2019/10/15/aim-united-nations-bekerjasama-bagi-projek-perkampungan-atas-air-sabah/